Rabu, 2 Mac 2011

Analisis penamaan jenis-jenis hantu di alam Mistik Melayu

PENAMAAN DAN PENDEFINISIAN

Analisis penamaan jenis-jenis hantu di alam mistik di kalangan masyarakat Melayu



PENDAHULUAN

Sebagai pembuka mauduk pembicaraan, dalam membicarakan tentang alam ghaib mahupun alam mistik ini, ia sering kali mengingatkan kita akan lembaga-lembaga hitam, makhluk-makhluk halus yang pelbagai jenis dan bentuknya. Ada kalanya kita memikirkan tentang hantu, jin, syaitan dan jembalang. Apabila kita menyentuh tentang skop atau kajian tentang alam mistik dan alam ghaib, kenapa kita terus terbayang akan wajah-wajah atau gambaran-gambaran yang mengerikan serta menaikkan bulu roma terutama apabila kita duduk bersendirian membaca kisah-kisah entiti mistik ini? Pontianak, Polong, Toyol, Pelesit, Hantu Air, Hantu Raya, Hantu Bungkus, Langsuir, Bunian, Kerajaan Bunian dan keluarga Bunian, Hantu Jepun, Jerangkung, Jin Tanah, Hantu Keramat, Orang minyak dan banyak lagi nama-nama entiti mistik dan alam ghaib ini.

Selain daripada perasaan takut yang dialami, pernahkah kita terfikir mengapakah setiap entiti mistik ini diberikan nama sedemikian? Mengapakah Polong dinamakan Polong dan sebagainya? Adakah kesinambungan antara nama yang mereka miliki dengan apa yang mereka ada? Ini bukanlah satu provokasi semata. Ia hanya sebagai satu jalan untuk kita membuka minda bagi menerima perspektif-perspektif baru tentang alam mistik dan alam ghaib serta hubungkaitnya dengan bidang linguistik.


SEMANTIK

Pertama sekali, dalam kajian semantik, aspek yang sering kali yang menjadi korpus ialah makna. Makna ini boleh diekspresikan melalui bahasa yang mempunyai makna (Hofmann, 1993). Bahasa merupakan satu sistem lambang bunyi yang bersifat arbitrari iaitu sesuatu kata itu tidak ada hubungan yang langsung antara lambang yang menandai dengan konsep yang menandai. Kearbitrarian lambang bahasa ini menjurus kepada kajian semantik sebagai ilmu makna yang mempunyai struktur yang tidak jelas (Jaludin Chuchu, 2010:1). Palmer (1981) mengatakan ada dua jenis semantik iaitu semantik yang berhubung dengan struktur semantik dan yang berhubung dengan makna. Kedua-dua komponen ini merupakan tanda atau lambang manakala yang ditandai itu lazimnya disebut referen (Jaludin Chuchu, 2010:2).

Dalam bidang semantik adanya satu bidang yang diklasifikasikan sebagai penamaan dan pendefinisian. Jaludin Chuchu (2010) berpendapat, penamaan dan pendefinisian adalah dua proses perlambangan suatu konsep untuk mengacu kepada suatu rujukan yang berada di luar bahasa. Plato mengatakan lambang itu ialah kata di dalam suatu bahasa sedangkan makna adalah objek yang dihayati di dunia nyata yang berupa rujukan yang ditunjukkan oleh lambang itu. Plato (429-348 SM) mengemukakan ada hubungan rapat antara nama dan benda. Socrates, guru Plato mengatakan bahawa nama harus sesuai dengan sifat acuan yang diberi nama (Mansoer Pateda, 2001:63). Dengan erti kata lain, penamaan seseorang itu haruslah berkaitan dengan orang yang dirujuk sama ada dari segi rupanya, perangainya dan perwatakannya. Ini adalah kerana penamaan seseorang mencerminkan perwatakan seseorang itu.

Menurut Jaluddin Chuchu dalam buku beliau Menyelusuri Makna (2010), terdapat beberaoa faktor terjadinya penamaan dan pendefinisian. Antaranya:

1. Peniruan bunyi
2. Penyebutan bahagian
3. Penyebutan sifat khas
4. Penemu dan pembuat
5. Tempat Asal
6. Keserupaan
7. Pemendekan
8. Penamaan Baru
9. Pengistilahan
10. Pendefinisian

Namun, dalam kajian ini hanya akan menggunakan beberapa konsep daripada senarai di atas dan konsep-konsep tersebut akan diaplikasikan pada proses penamaan entiti-entiti ghaib ini.

1.1 Peniruan Bunyi
Proses ini melibatkan proses peniruan bunyi yang dikeluarkan oleh sesuatu objek. Lazimnya, bunyi-bunyi yang ditiru ini akan digunakan sebagai penamaan objek tersebut. Bunyi-bunyi yang terhasil akan digunakan oleh masyarakat bagi menamakan entiti makhluk halus itu. Sebagai contoh, Hantu Kum-Kum yang namanya adalah hasil daripada bunyi yang dikeluarkannya. Ini adalah kerana Hantu Kum-Kum akan mencari mangsanya dengan member salam seperti “Assalammualaikum….kum…kum…”. Proses peniruan bunyi seperti ini telah dilakukan oleh masyarakat Melayu amnya bagi menamakan objek tersebut hasil daripada bunyi yang terhasil.



1.2 Penyebutan Sifat Khas
Proses penamaan ini biasanya adalah dengan melihat ciri-ciri atau sifatnya yang khusus pada objek tersebut. Lazimnya, ciri-ciri fizikal yang lazim di mata masyarakat serta diketahui umum merupakan salah satu faktor bagi penamaan sesuatu objek. Sebagai contoh, Hantu Bungkus ini dinamakan sedemikian kerana ciri-ciri fizikalnya yang dibungkus dengan kain kapan.


1.3 Tempat Asal
Penamaan jenis ini sering kali digunakan untuk menamakan sesuatu benda atau objek. Sama ada penamaan itu diambil daripada asal usul nama tempat itu mahupun keberadaan sesuatu objek itu. Oleh kerana tempat asal atau lebih tepat lagi keberadaan makhluk ghaib ini maka terciptalah sebuah penamaan. Selain itu, penamaan ini juga terhasil akibat kekurangan istilah dan lebih mudah jika penamaan dibuat dengan merujuk kepada asal usul tempatnya atau keberadaanya. Sebagai contoh, Hantu Air, Hantu Bukit, Hantu Kubur dan sebagainya. Semua penamaan ini diaplikasikan dengan merujuk tempat asal dan keberadaan mereka. Analisis penamaan akan diterangkan dengan lebih lanjut di bawah ini.

 
Tujuan utama laporan ini adalah untuk menganalisis penamaan bagi 10 nama-nama hantu yang ada di alam Melayu dengan menerapkannya pada teori segitiga semantik yang diperkenalkan oleh Richard dan Ogden (1923). Untuk istilah kata atau leksem, Richard dan Ogden menggunakan istilah simbol, konsep atau makna diberi nama pemikiran dan untuk sesuatu yang dirujuk pula disebut sebagai rujukan atau referen. Simbol melambangkan pemikiran manakala pemikiran pula merujuk kepada rujukan (Jaludin Chuchu, 2010). Jaludin Chuchu (2008) juga mengatakan menurut teori segitiga semantik ini, tiap bentuk kata yang diucapkan akan menimbulkan satu konsep dalam fikiran pendengar.



ANALISIS PENAMAAN WATAK DARI KONSEP PENIRUAN BUNYI.


1) Hantu Kum Kum

Asal Hantu Kum-Kum atau lebih dikenali sebagai Hantu Purdah di kalangan masyarakat Melayu Brunei, dikatakan bermula dengan seorang wanita yang mengamalkan ilmu mencantikkan muka. Salah satu pantangnya ialah dia tidak boleh melihat cermin selama 10 hari (sesetengah cerita menyatakan sebulan). Semenjak hari dia mengamalkan ilmu itu, semua orang memuji-muji kejelitaannya dan menyebabkan dia merasa tidak sabar untuk melihat rupanya. Akhirnya, dia melanggar pantang dan melihat wajahnya di cermin pada hari terakhir. Akibatnya mukanya berubah menjadi buruk. Lalu dia menemui kembali gurunya, dia diberitahu bahawa mukanya hanya akan kembali cantik setelah dia menyapu mukanya dengan darah perawan (Wikipedia, 2010).
Kenapakah hantu ini dipanggil masyarakat sebagai Hantu Kum-kum? Kenapa tidak hantu Kam-Kam atau Kom-Kom? Pada amnya, kata <kum-kum> adalah istilah berganda yang mengandungi dua suku kata dan tidak mempunyai makna. Namun kenapakah dari segi penamaan dan pendefinisian semantik, pengistilahan nama Kum-Kum ini diambil? Ini adalah kerana ciri-ciri atau konsep hantu Kum-Kum iaitu Hantu Kum-Kum ini memakai hijab, mencari mangsanya dengan mengetuk pintu rumah sambil memberi salam seperti “Assalammualaikum…Kum…Kum…”. Apabila orang menyahut salamnya orang itu pasti menjadi mangsanya. Disebabkan inilah ia dipanggil Hantu Kum-Kum.

Di sini jelas memperlihatkan kreativiti masyarakat Melayu khususnya dalam menamakan hantu daripada bunyi yang dikeluarkan oleh hantu. Jelas di sini, konsep peniruan bunyi telah membuat masyarakat amnya untuk memberi nama hantu tersebut nama Kum-Kum. Walaupun istilah <Kum-Kum> tidak mempunyai makna, penamaan Hantu Kum-Kum ini terhasil hasil daripada bunyi yang dihasilkan.

Dari segi teori semantik pula, kata <Hantu Kum-Kum> mempunyai konsep yang khusus iaitu memberi salam seperti "Asssalammualaikum...Kum...Kum..." dan konsep ini merujuk kepada Hantu Kum-Kum sebagai referen. Namun di dalam hal ini, kebanyakkan orang tidak mengetahui akan Hantu Kum-Kum terutama di kalangan masyarakat Melayu di Brunei. Apabila disebut <Hantu Kum-Kum> orang akan mempunyai konsep atau pemikiran yang pelbagai dan berbeza. Namun, apabila diterangkan konsep Hantu Kum-Kum ini dan dirujuk pada referennya maka akan timbullah kata atau istilah yang lebih dikenali dan sering digunakan di kalangan masyarakat Melayu Brunei iaitu <Hantu Purdah>.

Ini menunjukkan bahawa konsep dan referen yang sama boleh memiliki kata atau istilah yang berbeza, bergantung kepada latar belakang sesebuah masyarakat itu sendiri.


ANALISIS PENAMAAN WATAK DARI KONSEP PENYEBUTAN SIFAT KHAS.


2) Hantu Polong

Mengapakah hantu ini dinamakan sebagai Hantu Polong? Kenapa tidak hantu Palang, Peleng dan sebagainya? Apakah signifikan simbol <polong> ini dengan penamaan hantu ini? Berdasarkan cerita, hantu polong ini merujuk kepada semangat atau makhluk halus yang menjadi belaan yang dipelihara oleh seseorang, biasanya yang memeliharanya itu terdiri daripada kaum lelaki, yang bertujuan untuk memudaratkan musuhnya. Hantu polong ini dipercayai diberi makan darah dari jari tuannya sendiri. Menurut kepercayaan orang Melayu, polong boleh diperolehi dengan meletak darah orang yang mati dibunuh ke dalam botol bermulut panjang. Botol tersebut kemudiannya akan dipuja dan jampi serapah dan akan dibacakan dalam tempoh masa tertentu. Selepas tujuh hari sehingga dua minggu, akan kedengaranlah bunyi mengerit daripada dalam botol. Pemuja polong itu perlu menghiris sedikit jarinya kemudian memasukkan jarinya yang berdarah itu ke dalam botol untuk memberi makan polong tersebut. Dengan memberinya makan, polong ini akan terikat kepada tuannya dan akan melakukan apa sahaja suruhan dari tuannya. Hantu Polong ini biasanya disimpan di dalam botol dan hanya dikeluarkan apabila hendak memusnahkan musuh. Mangsa polong biasanya boleh dapat dikenali dari kesan lebam pada mayat dan darah keluar melalui mulut si-mangsa (Wikipedia, 2008).

Setelah mengetahui latar belakang Hantu Polong ini, apakah ada kesinambungan istilah <polong> dengan penamaan Hantu Polong ini? Menurut Yang Kassim (2004), ‘polongan’ merujuk kepada paip air. Jika dianalisis, konsep paip air ialah pembuka atau ‘kepalanya’ dapat dipusing, ‘mulut’ paip terdapat lubang bagi pengeluaran air, kebanyakannya berwarna kelabu atau putih. Berdasarkan sifat yang dimiliki daripada polongan ini, adanya penyerupaan dengan sifat yang dimiliki oleh Hantu Polong. Sifat khusus yang dimaksudkan di sini ialah Hantu polong itu seperti ‘air’ dalam paip. Hantu Polong disimpan di dalam botol (seperti air di dalam paip) dan ia dipuja dan diberi makan melalui botol tersebut. Sama juga dengan konsep seperti paip air, botol juga mempunyai konsep yang agak sama iaitu mempunyai lubang yang bulat pada ‘mulut’ botol. Disebabkan ciri-ciri atau konsep inilah hantu ini diberi nama Hantu Polong.

Dari segi teori segitiga semantik, kata <Hantu Polong> ini mempunyai konsep yang mirip seperti polongan (paip) dan ia berada di dalam botol, dipelihara, dipuja dan diberi makan. Konsep ini merujuk kepada referennya iaitu Hantu Polong.


3) Penanggalan

Hantu Penanggalan atau dikenali juga sebagai Hantu Tengelong di negeri Kedah, Hantu Babalan di Brunei serta Balan-Balan di serantau Sabah, ialah merujuk kepada seseorang, biasanya wanita, yang menuntut ilmu hitam bagi sesuatu kepentingan. Mereka yang menuntut ilmu ini mampu menceraikan kepala dengan badan mereka dan kepala mereka akan terbang dengan tali perut yang terurai. Darah yang menitik dari tali perut mereka dipercayai berbisa dan akan menyebabkan kudis kepada mereka yang terkena. Mereka yang menuntut ilmu penanggalan biasanya akan menyimpan setempayan cuka bagi memeram urat perut mereka agar kecut sebelum bercantum masuk kembali ke dalam badan asal mereka. Juga dipercayai, sekiranya tubuh mereka dijumpai orang dan diterbalikkan, kepala mereka akan bercantum secara terbalik, dengan itu rahsia mereka akan terbongkar. Penanggalan dipercayai menyukai darah perempuan yang bersalin. Sekiranya mereka menghisap darah tersebut, wanita bersalin itu akan mati akibat tumpah darah. Oleh itu, biasanya di sekeliling rumah wanita bersalin (masa dahulu, rumah dibina bertiang), diletakkan sejenis daun yang berduri kerana dipercayai penanggalan takut mendekati rumah tersebut kerana bimbangkan tali perutnya tersangkut kepada duri tersebut. Ketika penanggalan terbang, ia dipercayai mempunyai cahaya putih berkilauan daripada urat perut mereka yang terburai itu. (Wikipedia, 2010).

Apakah relevannya penamaan Hantu Penanggalan ini dengan nama yang dimilikinya sekarang ini? Adakah namanya itu diperolehi daripada sifatnya yang khusus iaitu kepalanya boleh terbang dan meninggalkan badannya? Adakah kerana hantu ini dipengaruhi oleh kata <tanggal> yang sesuai dengan keadaan hantu ini yang kepalanya ‘tanggal’ daripada badannya? Sebenarnya, istilah ‘tanggal’ ini ada makna. Di dalam konteks masyarakat Melayu, <tanggal> bermaksud dua objek terpisah (Malay-English Dictionary, Bilingual Dwibahasa 2004) dan sifat tanggal ini adalah perbuatan memisahkan sesuatu benda daripada satu benda yang lain. Kata <penanggalan> itu sendiri berasal daripada kata <tanggal> sebagai kata dasarnya. Kata <penanggalan> ialah kata nama khas manakala <tanggal> merupakan kata kerja.

Berpandukan konsep pengistilahan ini, konsep kata <tanggal> itu memang sesuai dan selari dengan sifat khusus yang dimiliki oleh Hantu Penanggalan ini. Pada dasarnya, konsep hantu ini ialah kepalanya berpisah daripada badannya. Kepalanya akan terbang dengan tali perut yang terburai dan mempunyai cahaya putih berkilauan daripada urat perut mereka. Penamaan hantu ini memang relevan dengan sifat makhluk tersebut kerana ciri-ciri yang khusus pada hantu tersebut. Sifat hantu ini yang menanggalkan kepalanya dari tubuhnya adalah satu faktor yang jelas untuk masyarakat menamakan hantu tersebut sebagai Hantu Penanggalan.Konsep yang khusus ini merujuk kepada Hantu Penanggalan sebagai referen.


4) Hantu Bungkus

Hantu Bungkus ialah makhluk ghaib yang dilihat berbungkus dalam kain kafan. Hantu bungkus atau juga dikenali sebagai hantu punjut dan Pocong (Brunei dan Indonesia) merujuk kepada sejenis makhluk yang berbentuk seperti mayat yang dibungkus dengan kain kafan. Hantu bungkus sering dikatakan mengusik orang yang lemah semangat dan akan bergerak dengan cara melompat seperti hantu cina, atau bergolek. Ia dikatakan mampu bergerak sepantas kereta dan bergerak seiring dengan kereta yang dipandu oleh mangsa usikan mereka (Wikipedia, 2009).

Benarkah penggunaan istilah ‘bungkus’ ini boleh memperlihatkan ciri khusus yang dimiliki oleh hantu ini? Jika dilihat dari gambaran yang diberikan, hantu ini menggunakan kain kafan. Kain kafan ialah sejenis kain dan konsepnya ialah berwarna putih dan digunakan untuk membungkus mayat.  Kata<bungkus> pula ialah menyelimuti tubuh badan dengan kain atau sesuatu benda untuk menutupi seluruh badan atau objek yang ingin ditutup. Pada dasarnya, Hantu Bungkus ialah hantu yang disaluti atau dibungkus dengan kain kafan. Kain kafan ini digunakan khusus untuk membungkus mayat. Oleh kerana konsep hantu ini berbungkus dengan kain kafan yang berwarna putih, ia diberi gelaran Hantu Bungkus. Konsep Hantu Bungkus sudah kita ketahui  dan fahami iaitu  hantu ini berbungkus dengan kain kafan berwarna putih dan referennya ialah Hantu Bungkus itu sendiri.


5) Hantu Jepun

Hantu Jepun merujuk kepada sebarang bayangan atau makhluk yang berpakaian seperti tentera Jepun. Selalunya hantu ini dikaitkan atau kelihatan di tempat-tempat yang pernah dijadikan markas tentera Jepun semasa Perang Dunia kedua, iaitu semasa tentera Jepun menawan benua Asia. Tempat yang selalu menjadi kawasan disebut-sebut sebagai kawasan yang dihantuinya adalah bangunan sekolah berasrama, pejabat-pejabat kerajaan dan bangunan-bangunan penting yang ada semasa Perang Dunia kedua. Oleh itu, boleh dikatakan, Hantu Jepun ini agak moden. Selalunya ia dilihat sama ada bersenjatakan senapang atau pedang (samurai), tanpa berkepala atau kepalanya dibawa bersama-samanya. Kadangkala, ia dikatakan berbaris lengkap bersenjata pada waktu malam (tanpa kepala), dengan bunyi derapan kasut but tentera (Wikipedia, 2007).

Apabila kata <Hantu Jepun> disebut, kita akan terbayang akan konsep berpakaian seperti tentera Jepun yang memegang senapang dan tidak berkepala. Ditambah lagi dengan kewujudan bunyi derapan kasut but tentera. Disebabkan konsep hantu inilah hantu ini digelar Hantu Jepun. Referen bagi hantu yang mempunyai konsep seperti ini ialah Hantu Jepun itu sendiri.


6) Hantu Kopek 


Hantu Kopek (Malaysia) atau Hantu Susu atau di kalangan masyarakat Melayu Brunei ia dipanggil Kalindahau, merujuk kepada sejenis makhluk halus yang bermungkinan berasal dari golongan jin atau syaitan dan suka mengganggu manusia. Kononnya hantu kopek ini merupakan seorang wanita tua yang suka menyembunyikan kanak-kanak yang suka bermain-main di luar rumah semasa waktu maghrib iaitu dengan cara menyembunyikan mereka dengan kopek (buah dada) mereka (Wikipedia, 2008).

Definisi kata <kopek> dalam Bahasa Melayu ialah payudara yang kempis dan ia tidak lagi menghasilkan susu (www.artikata.com., 2011). Konsep hantu ini merupakan seorang wanita tua yang suka menyembunyikan kanak-kanak yang bermain di luar rumah semasa waktu Maghrib.

Konsep kata <kopek> ialah payudara yang kempis dan tidak lagi menghasilkan susu manakala konsep <Hantu Kopek> ini iaitu seorang wanita tua yang suka menyembunyikan kanak-kanak di dalam kopeknya (buah dada). Kedua-dua konsep ini amat sesuai kerana seperti yang kita ketahui  majoriti wanita tua mempunyai payudara yang kempis dan wanita yang sudah berumur tidak lagi mampu menghasilkan susu. Hantu yang mempunyai konsep seperti ini dipanggil Hantu Kopek kerana makhluk wanita tua ini suka menyembunyikan kanak-kanak pada kopeknya (buah dada). Referen bagi konsep ini merujuk kepada Hantu Kopek itu sendiri.

Juga seperti Hantu Kum-Kum, kata <kopek> tidak terlalu dikenali di kalangan masyarakat Melayu Brunei. Apabila kata <Hantu Kopek> diungkapkan, akan timbullah pelbagai konsep yang berbeza di pemikiran setiap orang khususnya mereka yang tidak tahu akan pengertian <kopek>. Ini juga membuktikan bahawa konsep dan referen yang sama boleh mempunyai istilah yang berbeza bergantung pada latar belakang sesebuah masyarakat itu sendiri. Seperti di Malaysia dan Indonesia hantu ini lebih dikenali sebagai Hantu Kopek manakala di kalangan masyarakat Melayu Brunei ia dikenali sebagai Kalindahau.


ANALISIS PENAMAAN WATAK DARI KONSEP TEMPAT ASAL.


7) Hantu Air

Hantu air (juga termasuk Hantu laut) merupakan sejenis makhluk halus atau jin yang terdapat di dalam kawasan berair. Makhluk ini dianggap agak keras dan mampu membahayakan mereka yang bertembung dengannya. Kebiasaannya ia dikatakan terapung-apung seperti batang kayu buruk, tetapi mampu melumpuhkan mereka yang tersentuh dengannya. Selain itu, ia dikatakan mampu menjelma untuk mengganggu mereka yang berada di pinggir air. Hantu Air ini juga dipercayai berasal daripada ilmu hitam dan makhluk halus yang dibuang dan dihanyutkan melalui sungai yang mengalir ke laut (Wikipedia, 2008).

Nama hantu ini adalah berasal dari penamaan asal tempat atau tempat tinggal atau asal usulnya. Oleh sebab hantu ini sering kali ditemui di kawasan perairan, maka konsep hantu yang keberadaannya selalu di tempat yang berair seperti sungai dan laut, hantu ini pun disebut sebagai Hantu Air.

Dari segi teori segitiga semantik, kata <Hantu Air> yang mempunyai konsep berada di kawasan perairan dan mempunyai ciri-ciri yang menakutkan merujuk  kepada Hantu Air itu sendiri sebagai referen.



8) Hantu Bukit

Hantu Bukit merujuk kepada sejenis makhluk yang berkeliaran di kawasan bukit. Hantu Bukit sering dikatakan mengusik orang yang lemah semangat (Wikipedia, 2010).

Oleh kerana keberadaan hantu ini selalu dijumpai di kawasan bukit, lalu hantu ini dipanggil Hantu Bukit. Kata <Hantu Bukit> ini mempunyai konsep  yang khusus iaitu sejenis makhluk ghaib yang keberadaannya di kawasan bukit bukau. Referennya ialah Hantu Bukit itu sendiri.


9) Hantu Kubur

Hantu Kubur merujuk kepada sejenis makhluk yang berkeliaran di kawasan perkuburan. Hantu kubur amat ditakuti dikalangan orang-orang asli kerana mampu menyebarkan penyakit. Ini adalah antara sebab orang asli berpindah rendah sekiranya berlaku kematian. Malah ia ditakuti oleh puak asli Kubu (Indonesia) dan Jakun (Malaysia) walaupun mereka dipisahkan oleh selat Melaka. Hantu kubur sering dikatakan mengusik orang yang lemah semangat (Wikipedia, 2011).

Kata <kubur> ialah suatu tempat bagi orang yang sudah meninggal dunia dikebumikan (Oxford Student's Dictionary of English, 2001). Hantu ini dipanggil Hantu Kubur kerana konsep hantu ini sering berkeliaran di kawasan perkuburan. Oleh kerana konsep hantu ini yang keberadaannya sering di kawasan perkuburan maka ia dipanggil Hantu Kubur. Kata <Hantu Kubur> ini mempunyai konsep atau ciri-ciri yang khusus iaitu dari segi keberadaannya dan referen bagi hantu yang mempunyai konsep keberadaan di kawasan perkuburan ialah Hantu Kubur itu sendiri.

Bagi Hantu Air, Hantu Bukit dan Hantu Kubur mereka tidak mempunyai nama yang khusus seperti hantu-hantu lainnya. Ini mungkin bagi memudahkan masyarakat Melayu khususnya untuk memberi istilah dan penamaan yang mudah diingati dan difahami konsepnya.

10) Hantu Galah

Hantu Galah merujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu, kemungkinannya dari golongan jin/syaitan. Ia dikatakan berbentuk manusia tetapi bersaiz besar dan amat tinggi sehingga kepalanya dikatakan menyapu awan. Ia sering kali ditemui jauh di dalam hutan dan biasanya hanya kakinya yang kelihatan. Mereka yang diusiknya dikatakan sering menyangka kakinya sebagai batang pokok. Kakinya dikatakan berbulu panjang dan hanya mangsa hanya terserempak pada waktu malam apabila sering bersandar atau memegang kakinya, atau ketika melalui celah kangkangnya. Manusia yang bersahabat dengannya dikatakan boleh mencabut bulu betisnya yang akan dibakar untuk menyerunya apabila memerlukan pertolongannya (Wikipedia, 2008).

Di dalam Malay English Dictionary (2004), Yang Kassim mengatakan ‘galah’ ialah sekeping kayu yang berukuran panjang. Sepertimana yang kita tahu, kayu adalah berasal dari pokok manakala hutan dipenuhi dengan pokok-pokok. Ini amat sesuai dengan keberadaan Hantu Galah yang sering dijumpai di dalam hutan. Selain itu, ciri-ciri Hantu Galah yang tinggi ini sesuai dengan galah yang bersifat tinggi dan panjang. Kerana itulah apa sahaja hantu yang kelihatan tinggi dan panjang disebut Hantu Galah.

Dari segi teori segitiga semantik, kata <Hantu Galah> mempunyai konsep yang khusus iaitu berbentuk tinggi dan panjang serta sering dijumpai di kawasan perhutanan. Konsep yang khusus ini merujuk kepada Hantu Galah sebagai referennya. 




KESIMPULAN

Keseluruhannya, setelah analisis dilakukan, terbuktilah bahawa semua penamaan nama-nama hantu itu adalah berpandukan pada konsep penamaan dan ciri pendefinisian. Ini jelas membuktikan penamaan yang diberikan itu bukanlah sekadar pilihan secara rambang. Pengistilahan nama itu haruslah bersandarkan pada sifat yang dimiliki oleh entiti tersebut. Pendapat ini disokong oleh Schwarz (1979) yang menyatakan bahawa penamaan ini tidak boleh dibuat oleh penutur selari dengan sifat keindividuannya dan bukan dari bahan yang sudah nyata akan keberadaannya. Hal tersebut bolehlah dirujuk pada analisis yang telah dilakukan.
 
Dengan ini, ia sekaligus menyangkal bahawa penamaan sesuatu benda itu tidak boleh dilakukan sesuka hati kerana analisis yang telah dilakukan membuktikan bahawa beberapa proses penamaan yang dilakukan itu tidak bersifat sewenang-wenangnya melainkan mempunyai rujukannya yang tersendiri. Apatah lagi dari segi konvensionalnya pula, ia disepakati dan dipersetujui oleh masyarakat, khususnya masyarakat Melayu.


Rujukan:

Hofmann, Th. R. (1993) Realms Of Meaning: An Introduction To Semantics. Longman Group UK Limited: England.

Jaludin Chuchu (2008). Semantik dan Pengajaran Bahasa. Dewan Bahasa dan Pustaka: Bandar Seri Begawan.

Jaludin Chuchu (2010). Menyelusuri Makna. Universiti Brunei Darussalam: Bandar Seri Begawan.

Mansoer Pateda, Prof. Dr. (2001) Semantik Leksikal. PT Rineka Cipta: Jakarta.
Palmer, F.R. (1981). Semantics. Cambridge University Press: London.

Oxford Student's Dictionary of English (2001). Oxford University Press: New York. 

Palmer, F. R. (1981). Semantics. Cambridge Univesity Press: London.

Yang Kassim (2004) Malay English Dictionary: Bilingual Dwibahasa. Minerva Publictions: Kuala Lumpur.

Schwarz, D. S. (1979). Naming and Referring: The Semantics and Pragmatics of Singular Terms. Walter de Gruyter. Berlin, New York.


Laman Web:

Definisi Kopek (2011). Diambil pada Mac 4, 2011 dari http://www.artikata.com/arti-103045-kopek.php
Wikipedia (2007). Diambil pada Februari 27, 2011 dari http://ms.wikipedia.org/wiki/Hantu_jepun
Wikipedia (2008). Diambil pada Februari 27, 2011 dari http://ms.wikipedia.org.wiki/polong
Wikipedia (2008). Diambil pada Februari 27, 2011 dari http://ms.wikipedia.org.wiki/Hantu_air
Wikipedia (2008). Diambil pada Februari 27, 2011 dari http://ms.wikipedia.org/wiki/Hantu_galah
Wikipedia (2008). Diambil pada Februari 27, 2011 dari http://ms.wikipedia.org/wiki/Hantu_kopek
Wikipedia (2009). Diambil pada Februari 27, 2011 dari http://ms.wikipedia.org/wiki/Hantu_bungkus
Wikipedia (2010). Diambil pada Februari 27, 2011 dari http://ms.wikipedia.org/wiki/Hantu_penanggalan
Wikipedia (2010). Diambil pada Februari 27, 2011 dari http://ms.wikipedia.org/wiki/Hantu_Kum-Kum
Wikipedia (2010). Diambil pada Februari 27, 2011 dari http://ms.wikipedia.org/wiki/Hantu_bukit
Wikipedia (2011). Diambil pada Februari 27, 2011 dari http://ms.wikipedia.org/wiki/Hantu_air
Wikipedia (2011). Diambil pada Februari 27, 2011 dari http://ms.wikipedia.org/wiki/Hantu_kubur